KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Jemaah Menteri dan perwakilan asing di Istana Negara di sini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan Jemaah Menteri.

Antara menteri yang hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyantuni perwakilan asing yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Raya Aidilfitri di Istana Negara hari ini. - Gambar BERNAMA

Majlis yang dihadiri kira-kira 800 tetamu itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Majlis itu turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Turki, Singapura, Amerika Syarikat, Azerbaijan, Australia, New Zealand, Bangladesh, Pakistan, Ireland dan Kanada.

Al-Sultan Abdullah (empat, kanan) berkenan beramah mesra dan bergambar bersama barisan menteri dan orang kenamaan yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Raya Aidilfitri di Istana Negara hari ini. - Gambar BERNAMA

Tetamu lain yang dijemput adalah veteran ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ahli sukan veteran, ketua Orang Asli serta aktivis sosial.

Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri itu adalah kali pertama diadakan di Istana Negara selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara, dengan kali terakhir diadakan pada 2019.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini. - BERNAMA